Halaman

09 May 2013

Program jelajah siswa ke desa pupuk semangat kesukarelawanan

Oleh: Noraini Jusoh

Muhamad Najib Mat Khadzi
Pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Polisi dan Sekitaran Sosial) Universiti Malaysia Terengganu mengadakan Program Jelajah Siswa Ke Desa bertempat di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit selama dua hari, bermula hari ini.

Pengarah programnya, Muhamad Najib Mat Khadzi berkata, ia bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dan mengeratkan silaturahim antara pelajar dengan penduduk kampung di mana 19 peserta yang menyertai program ini akan tinggal bersama tujuh keluarga angkat yang terpilih.

"Program yang mendapat kerjasama 1Malaysia For Youth (1M4U) ini juga sebenarnya adalah inisiatif kami untuk memenuhi tugasan bagi subjek Perubahan dan Pembangunan Sosial sekali gus melengkapkan keperluan kursus yang kami pelajari di universiti.

"Aktiviti yang akan dijalankan bersama penduduk disini juga bertepatan dengan kehendak fakulti pembangunan sosial dimana kami perlu mengkaji perubahan dan pembangunan sosial sesuatu masyarakat,”ujarnya ketika ditemui Teganukita di balai raya kampung tersebut, hari ini.

Katanya, pada hari pertama, peserta akan bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit bagi menjayakan program jejak bestari untuk menarik minat mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selepas itu, bagi melengkapkan aktiviti melestari alam, acara gotong-royong di sekitar surau diadakan dan diikuti dengan program cakna komuniti di mana peserta akan berkunjung ke enam buah rumah terpilih untuk menghulurkan
bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian,” katanya.

Tambah beliau, pada sebelah malam pula aktiviti bacaan yasin dan tahlil yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh para peserta termasuk menjadi imam dan bilal akan mengisi slot malam munajat.

Katanya, aktiviti pada hari kedua pula lebih kepada program berbentuk riadah iaitu acara senamrobik disamping pemeriksaan kesihatan secara percuma yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu untuk penduduk kampung.

Katanya, majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Tuan Haji Bazlan Abd. Rahman kira-kira jam 10.30 pagi.