Halaman

16 May 2013

Pelantikan Dato' Seri Shabery ibarat sirih pulang ke gagang

Pelantikan Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia ibarat sirih pulang ke gagang, kerana beliau pernah meneraju kementerian itu dari tempoh Mac 2008 hingga April 2009.

Ketika itu kementerian berkenaan dikenali Kementerian Penerangan. Dalam rombakan kabinet kemudian, Ahmad Shabery, 55, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri dari 2006 hingga 2008 itu merupakan Anggota Parlimen Kemaman sejak pilihan raya umum 2004. Anak kelahiran Kijal, Kemaman, Terengganu itu merupakan bekas pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya selama empat tahun dari 1986.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya serta Ijazah Sarjana Sains Politik dari University of Leeds, United Kingdom selain diploma lanjutan dalam bidang Perhubungan Antarabangsa dari Universiti Uppsala, Sweden yang diterimanya pada 1989.

 Dato' Seri Ahmad Shabery juga pernah menjadi pemimpin pelajar iaitu Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universti Malaya dan Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Universiti Malaya dan pada 1989 dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Sains Sosial Malaysia selama setahun.

Beliau juga merupakan bekas felo penyelidik di Institut Kajian Asia Tenggara Singapura (ISEAS).