Halaman

20 May 2013

MB rombak portfolio Exco

Oleh: Suriati Ali


Dato' Seri Haji Ahmad Said (tengah) menyentuh bola kristal gimik perasmikan Sambutan Hari Guru peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Kerajaan Terengganu akan melakukan rombakan kecil portfolio Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam tempoh terdekat bagi membolehkannya seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

 Menteri Besar Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata langkah itu diambil bagi menampung pelbagai peranan dan tugas terhadap rakyat yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ia seimbang dengan tanggungjawab di peringkat Pusat.

 “Rombakan kecil terpaksa dilakukan memandangkan di peringkat Pusat mempunyai 30 kementerian sedangkan yang memikul tanggungjawab itu hanya 10 exco di Terengganu.

Haji Draman Muda dianugerahkan Tokoh Guru 2013.
“Semua exco termasuk muka baru sudah menghadiri kursus berkaitan portfolio masing-masing, kecekapan mentabdir negeri bergantung kepada kemampuan setiap exco, pada masa sama kita akan pantau apa yang kurang,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin.


Pada majlis itu, bekas Pengarah JPNT, Haji Draman Muda dianugerahkan Tokoh Guru Negeri. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk menambah portfolio agama, kerana hal ehwal agama diselia Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan berada di bawah bidang kuasa sultan.

 Katanya, langkah yang diambil itu bukan bermakna pihaknya sengaja mahu mengetepikan soal agama (dalam portfolio).