Halaman

15 May 2013

Kakitangan Mara perlu prihatian terhadap masalah rakyat


Idris mengecat tiang sebuah premis MARA tanda kenangan  bersama kakitangan MARA Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Kakitangan di bawah agensi Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) dinasihatkan sentiasa peka dan sensitif terhadap orang ramai yang sering berurusan dengan agensi berkenaan.

Pengerusi MARA, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, sebagai agensi yang meenyediakan perkhidmatan untuk rakyat segala masalah yang dibangkitkan mereka ketika berurusan dengan agensi itu hendaklah diambil tindakan segera.

Katanya, MARA yang ditubuhkan kerajaan untuk membantu Bumiputera terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan menjadi harapan oleh orang ramai yang memerlukan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh MARA.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, sebagai agensi yang berpaksi untuk memajukan golongan Bumiputera, MARA mempunyai banyak pilihan jika rakyat terutama usahawan dapat memahami fungsi dan tugas agensi itu.

“Kakitangan Mara sebenernya sudah dilatih dengan pelbagai kemahiran bagi mwwujudkan suasana bekerja yang sihat, cergas dan dinamik,” katanya selepas menghadiri majlis bersama kakitangan agensi MARA Daerah Besut di Kampung Raja, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan BN sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan menerusi pelbagai agensi yang ditubuhkan diharap dapat menyalurkan maklumat dan kerjaya untuk masyarakat.

Idris yakin di bawah pentadbiran dan mandat baru kerajaan Barisan Nasional Mara akan diberi nafas baru untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan dan pendidikan berteraskan perkembangan semasa dan tranformasi kerajaan.