Halaman

23 May 2013

Exco baru sedia `blueprint' sehingga tahun 2020

Oleh: Aida Abd Rahman

Mesyuarat pertama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu semalam, memperhalusi bidang tugas semua portfolio supaya setiap Exco yang baru dilantik itu dapat menyediakan pelan perancangan terperinci dan hala tuju mereka sehingga tempoh tujuh tahun menjelang 2020, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Tidak banyak kertas (perkara) yang diusulkan pada mesyuarat pertama ini, melainkan paling utama kita memperkenal portfolio serta amanah kepada mereka supaya dapat menyediakan `blueprint’ masing-masing, sehingga 2020,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan pertama Exco kerajaan negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Menteri Besar juga mengingatkan semua Exco bukan hanya tertakluk dan mengutamakan amanah sebagai Exco sahaja, sebaliknya turut menjaga kawasan selaku wakil rakyat serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Apa yang penting perkhidmatan mereka sebagai Exco perlu diselaraskan dengan menjaga kawasan.Kita tak nak mereka menjadi Exco sahaja, sehingga kawasan ditinggalkan, jadi itu perlu kita berikan penekanan,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata kerajaan negeri masih dalam proses menyiapkan rombakan kecil portfolio Exco sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bagi mendapat perkenan baginda dalam masa terdekat.

Rombakan itu seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

Sebelum ini, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata rombakan itu mungkin akan dilakukan segera bagi menampung pelbagai peranan dan tugas terhadap rakyat yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ia seimbang dengan tanggungjawab di peringkat Pusat.