Halaman

03 May 2013

56 tahun BN bukan tempoh sia-sia-TPM

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menandatangani plag perasmian SMK Sri Payong, Marang, Terengganu petang semalam.
Oleh; Esah Abdullah

Program transformasi negara yang dilbawa Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak begitu cemerlang serta menunjukkan keupayaan membentuk masa depan rakyat lebih cerah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, tempoh 56 tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara bukan tempoh yang sia-sia kerana pelbagai perubahan telah dibuat.

Pengetua dan guru-guru bergambar kenangan bersama TPM berlatarbelakangkan SMK Sri Payong.
“Sepanjang tempoh itu kepimpinan kita silih berganti bukan orang sama dan kini berada dalam era Perdana Menteri ke enam, “ katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, Bukit Payong, Marang petang semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato’ Rosli Mohamad serta calon-calon BN dalam Parlimen Marang iaitu Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad (Parlimen), Haji Alias Abdullah (Alor Limbat), Encik Zaidi Muda (Bukit Payong) Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang) dan Encik Abdul Latif Awang (Rhu Rendang).


Katanya, pelbagai agenda dijalankan, ada transformasi ekonomi, ada transformasi politik dimana undang-undang yang tidak sesuai dgubal dan diganti dengan undang-undang baru yang lebih baik serta transformasi luar bandar dengan pembangunan sentiasa diperhebatkan.

“Semua itu dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) secara tersusun dan terancang dengan baik untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.


Menurutnya, program transformasi ini seperti sebuah kereta api yang sudah ada dilandasan dan pemandunya tidak lain dan tidak bukan ialah Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib.

“Kereta api sudah ada dilandasan dan sedang dipandu laju dengan hala tujunya jelas bahawa tahun 2020 akan menjadi sebuah negara maju.

“Jadi kalau sudah elok sebegitu biarlah ia berjalan terus jangan pula ada pihak yang menimbulkan masalah menyebabkan kereta api iti tergelincir daripada landasannya,” katanya.


Katanya,Perdana Menteri kita baru mengambil alih kepimpinan negara selama empat tahun dan telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang serta semua perancangan tersusun dan terancang dengan baik.

“Saya minta rakyat di negara ini jangan terpedaya dengan suara-suara yang mahu tukar dan ubah kerajaan sedia ada kerana tidak semestinya yang baru itu baik dan yang lama tidak baik,” katanya.