Halaman

25 April 2013

UniSZA ceburi perniagaan hartanah

Oleh; Esah Abdullah

UniSZA Holding Sdn Bhd akan menceburi bidang perniagaan hartanah bagi mengelak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) daripada terlalu bergantung kepada bidang akademik sebagai sumber pendapatan.

Pengarah Urusan UniSZA Holding, Dato’ Prof Dr Sudin Haron berkata, setiap universiti perlu mencari sumber pendapatannya sendiri dengan menubuhkan UniSZA Holding Sdn Bhd.

Katanya, UniSZA Holding yang baru ditubuhkan pada September tahun lalu dengan mempunyai lima anak syarikat iaitu UniSZA Properti (pembangunan hartanah) UniSZA Trading, UniSZA Bioteknologi, UniSZA Konsultansi dan UniSZA Tourism.

“Sebagai permulaan UniSZA Holding akan membina 14 buah banglo di kawasan kampus university itu Besut dalam masa terdekat dan banglo ini akan dijual kepada kakitangan UniSZA sendiri dengan harga RM300,000 sebuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Perasmian Khidmat Percuma kepada Pengusaha Penginapan Pelancongan dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara UniSZA Holding dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Quinara Al Safir Resort, Tok Jembal hari ini.

Hadir sama, Ahli lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dato’ Haji Mokhtar Nong; Pemangku Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Dr. Nik Wan Nik Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

 Selain itu katanya, turut merancang membina 1,000 unit kuarters untuk pelajar di Tembila Besut. Manakala melalui UniSZA Tranding pula akan menjalankan perniagaan yang mampu memberi pulangan kepada pihak universiti .

Menurutnya, kewujudan UniSZA Holding adalah sebagai pelengkap dalam dunia perniagaan dan bukan pesaing kepada peniaga sedia ada tetapi bertindak membantu usahawan meneroka bidang baru serta bergerak seiring dengan UniSZA.

Katanya, termeterainya MoU ini UniSZA dan YPU akan bekerjasama memajukan bidang pelancongan di negeri ini dan akan membina webside bagi memudahkan pelancong dan orang ramai boleh membuat tempahan penginapan secara talian terus.