Halaman

29 April 2013

Tinggal jawatan dan pangkat untuk dekati rakyat

Oleh; Esah Abdullah

“Saya korbankan segalanya, jawatan dan pangkat semata-mata untuk perhambakan diri kepada parti dan masyarakat,” kata calon Parlimen Setiu Che Mohd Zuklifli Jusoh.

Katanya, tidak ada yang mustahil baginya melayan karenah masyarakat, kerana tugas sebagai hakim juga sentiasa bergelumang dengan orang ramai dalam datang mencari keadilan.

“Saya berjanji untuk memberi khidmat terbaik kepada parti jika menang dalam Pilihanraya Umum (PRU) 5 Mei ini,” katanya di Majlis Perjumpaan Jentera Pilihanraya BN dan Pengenalan Calon N08 Batu Rakit dan P034 Parlimen Setiu di Dewan Serbaguna Maras, Batu Rakit.

Katanya, beliau berusaha untuk bertemu dengan semua pengundi dalam Parlimen yang diwakili untuk menjadi rakan yang baik dan setiap perkara boleh dikongsi bersama.

Beliau yang ditemani isteri, Puan Rozainah Mohamad itu tidak kekok menjalani rutin harian menjelajah kesetiap pelusuk kampung beramah mesra dengan rakyat pelbagai golongan.

“Dulu saya tidak banyak masa untuk turun padang kerana kekangan kerja, tetapi suasana hari ini telah berubah, sepanjang hari hingga larut malam berdamping dengan orang ramai,” kata mantan Hakim di Mahkamah Seksyen Jalan Duta Kuala Lumpur.

Beliau menyeru rakyat tidak memberi undi kepada parti pembangkang kerana ia suatu kerugian yang amat besar terhadap masa depan negara yang sedang pesat membangun.