Halaman

08 April 2013

Tiga KR1M dibuka di negeri ini

Sambutan masyarakat yang menggalakkan terhadap Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di negeri ini mendorong kewujudan tiga lagi kemudahan itu di negeri ini pada tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman berkata, selain KR1M yang dirasmikan hari ini di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai dekat sini, dua buah lagi akan menyusul pembukaannya iaitu di Kuala Nerus dan Marang.

Katanya, menjelang tahun depan, kerajaan menjangkakan lima buah lagi KR1M diwujudkan di seluruh negeri ini bagi melengkapkan taburannya di setiap kawasan Parlimen.

“Pada tahun lalu dua buah telah beroperasi di Kemaman dan Kuala Terengganu. KR1M bertujuan membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk mendapatkan bekalan keperluan pada harga lebih rendah.

 “Barang-barang yang dibekalkan mempunyai kualiti yang sama dengan barangan di pasar raya lain, jadi tidak timbul soal barangan jenama 1Malaysia tidak bagus kerana kerajaan tidak berkompromi terhadap keselamatan dan kualiti barang yang dijual di KR1M,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis perasmian KR1M daerah Dungun di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai dekat sini semalam yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Ab. Ghani Harun dan pemlik KR1M Kampung Batu Tiong, Zaki Ismail.

KR1M Kampung Batu Tiong beroperasi sejak akhir tahun lalu dan merupakan KR1M ketiga selepas KR1M di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu dan di Taman Permai Jaya, Kemaman yang dibuka awal tahun lalu.

Dalam pada itu, Za’abar berkata, pembukaan KR1M tersebut dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk di sekitar kawasan itu.

Jelasnya, pembukaan KR1M di kawasan itu turut memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan di kawasan sekitarnya.

Beliau turut mencadangkan agar pemilik KR1M dapat memberikan peluang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu untuk memasarkan produk mereka.

“Jika kita lihat, di KR1M telah sedia ada produk 1Malaysia dijual dan kita harap selepas ini produk-produk penduduk setempat dapat dijual di KR1M kerana ia sekali gus dapat membantu ekonomi rakyat sekitarnya,” jelasnya.