Halaman

15 April 2013

SPR Terengganu buka lapan PPC

Oleh: Suriati Ali 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuka lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) di Terengganu pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 20 April depan.

 Pusat berkenaan ialah Pejabat Daerah Besut bagi Parlimen Besut; Pejabat Daerah Setiu (Setiu); Majlis Sukan Negeri Terengganu (Kuala Nerus); Pejabat Daerah Marang (Marang) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu (Hulu Terengganu).

 PPC lain ialah Pejabat Daerah Dungun bagi Parlimen Dungun, Stadium Negeri Kuala Terengganu (Kuala Terengganu) dan Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (Kemaman).

Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata pada hari pernamaan calon, setiap bakal calon perlu menyerahkan kertas penamaan calon masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi.

“Pegawai Pengurus Pilihan Raya akan menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik sahaja semua urusan selesai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya melantik 10,821 petugas di negeri ini bagi menguruskan proses pilihan raya melibatkan 354 pusat mengundi menjelang PRU13.

“Pihak kami menjangkakan aktiviti pilihan raya kali ini lebih rancak dan `panas’ dapat dikendalikan dengan lancar dan sempurna oleh kesemua petugas dilantik. “Saya percaya mereka dapat memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing kerana sebelum ini sudah menghadiri taklimat secara terperinci,” katanya

 Katanya, SPR menasihatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya tidak pilih kasih dalam mengambil sebarang tindakan kepada parti politik bagi mengelak wujudnya ketegangan dalam masyarakat.

 “Sebagai contoh, isu pemasangan bendera parti politik di luar tempoh kempen perlu ditangani dengan adil dan sebarang tindakan perlu seragam kepada semua parti politik.

 "Janganlah pula parti A boleh, parti B tak boleh. Oleh itu, SPR nasihat PBT supaya laksanakan peraturan kecil yang tertakluk dalam setiap PBT bagi mengatasi masalah ini," katanya.

 Beliau berkata, pihaknya akan melantik dua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bagi setiap kawasan Parlimen untuk memantau perkara ini sebaik sahaja selesai proses penamaan calon.

 “Pasukan penguatkuasa ini terdiri dari sekurang-kurangnya lima anggota iaitu wakil PBT, wakil polis dan wakil-wakil dari parti yang bertanding,” katanya.