Halaman

26 April 2013

PRU13: BN yakin menang

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yakin BN mampu mengekalkan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berdasarkan perkembangan dan penilaian semasa.

"Kita yakin menang kerana setakat lima hari ini saya dah turun di tiga bahagian sebelah utara iaitu Besut dan Setiu. Setakat ini tiada masalah..Insya-Allah kita boleh menang 10-0 di sana. Di Rhu Rendang, kita dimaklumkan setakat ini persaingan sengit antara kedua-dua parti.

"Di Hulu Terengganu, kita dimaklumkan baik..BN berpeluang menang di tiga DUN iaitu Telemong, Kuala Berang dan Ajil, manakala di Manir peluang ketika ini hampir 50-50," katanya kepada pemberita selepas menikmati sarapan bersama rakyat di Marang Waterfront, hari ini.

Beliau turut menyampaikan bantuan am bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 141 penerima baru di Marang.

Menteri Besar turut mengingatkan rakyat berpolitik secara rasional dan aman mengikut proses demokrasi bagi mengelak kejadian buruk seperti insiden keganasan sepanjang kempen PRU13, seperti yang dilaporkan di Pulau Pinang dan Perak.

“Kita harap tiada keganasan melibatkan bom dan sebagainya di Terengganu. Tapi keganasan kecil masih berlaku seperti pukul dan diharap kita lebih rasional. Lepas ini kita jumpa pula, nanti kalau lepas ni balas dendam pula.

“Sebab itu kita minta kita berpolitik ikut proses demokrasi dan melakukan mengikut proses undang-undang. Tiada seorang pun akan terlepas dari tindakan undang-undang jika terbukti bersalah,” katanya.

Beliau berharap semua pihak tanpa mengira mana-mana penyokong parti mengelak kejadian tidak diingini, selain meminta penyokong BN mengamalkan kesederhanaan sebagai menggambarkan perjuangan parti.