Halaman

18 April 2013

PRU13: BN akan pecah rekod Pas di Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) akan memadamkan rekod dicatatkan oleh Pas yang menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam selama 32 tahun pada PRU Ke-13, 5 Mei ini.

Keyakinan itu dilontarkan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, 51, selaku calon BN yang memikul tanggungjawab merampas DUN itu dari pembangkang.

 “Saya yakin bahawa iklim politik di Wakaf Mempelam kian berubah secara beransur-ansur sejak lima tahun lalu apabila rakyat yang selama ini terlalu yakin dengan watak wakil rakyat Pas yang kononnya mengutamakan perjuangan Islam, hakikat sebenar gagal membela kebajikan mereka sepanjang memegang mandat itu.

“Rakyat di DUN ini mula sedar dan sudah boleh membezakan pemimpin yang mana harus mereka pilih dan sokong bagi memastikan nasib mereka terbela. Bukannya terus membiarkan Pas berkuasa sejak tujuh PRU lalu namun mengabaikan mereka,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Kelab wartawan Terengganu, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama calon Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong dan DUN Ladang, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Haji Wan Mahyuddin berkata, pembangkang yang sering menyalahgunakan sentimen agama termasuk berhubung isu kalimah Allah, solat orang Umno tidak sah dan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia umpama memberi makan kepada haiwan, turut menyinggung perasaan penyokong Pas sendiri.

 Menurutnya, perjuangan agama yang kian keluar dari landasan sebenar itu menyebabkan semakin ramai rakyat tidak menyebelahi Pas dan mula menerima usaha dilaksanakan kepemimpinan BN negeri dan Pusat.

Katanya, sikap mengambil berat dan keprihatinan BN menangani masalah rakyat dari setiap aspek terutama kebajikan dan kesihatan juga membuka mata penduduk untuk menyokong BN sekaligus menzahirkan sokongan pada hari pembuangan undi nanti.

 “Saya sendiri turun menghantar cek bantuan kepada pesakit dan penerima dana Tabung Penyakit Kronik berjumlah RM10 juta yang disediakan Kerajaan BN.

“Sekurang-kurangnya pesakit dan keluarga mereka sedar kita sebagai kerajaan yang benar-benar membela nasib mereka selama ini, bukan sekadar bercakap dan bersyarah seperti pembangkang namun tidak bertindak. Masakan untuk bertindak, wakil rakyat Pas pun tidak pernah menjenguk rakyat yang memerlukan perhatian,” katanya.