Halaman

30 April 2013

PM rasmi ADC di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 10,000 jemputan terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negara akan hadir pada Majlis Anugerah Desa Cemerlang peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit Kuala Terengganu, esok.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan.

Ketibaan Dato’ Sri Mohd Najib bersama isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di tapak perasmian kira-kira jam 9.30 pagi dan disambut oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Menteri Pembangunan Luar bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Afdal .

Pertandingan ADC anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu terbuka kepada semua JKKK seluruh negara dan tahun ini Terengganu terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi majlis anugerah berprestej itu.

Pada majlis itu, Perdana Menteri akan mengumumkan JKKK terbaik bagi menerima anugerah ADC Peringkat Kebangsaan 2012 di mana 13 buah JKKK termasuk Sabah dan Sarawak dinilai pada peringkat pertandingan akhir pada Oktober tahun lalu.