Halaman

28 April 2013

Pilih calon yang tepat

Oleh: Noraini Jusoh

Dalam tempoh seminggu sebelum tibanya hari Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) setiap pengundi khususnya golongan muda sudah pasti mempunyai calon pilihan masing-masing dan diharap dapat membuat keputusan yang tepat semasa membuang undi.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Terengganu, Puan Nordiana Shafie berkata, pengundi muda disaran agar berfikir secara rasional dan membuat pilihan yang terbaik sebelum membuat keputusan.

"Saya nasihatkan mereka memilih calon yang tepat dan tidak terpengaruh dengan janji-janji manis pembangkang yang belum tentu dapat ditunaikan.

"Saya akui golongan muda mudah terpengaruh dan faham perasaan orang muda yang inginkan suatu perubahan dan mempunyai sifat ingin mencuba, tetapi tidak ada gunanya kita menyokong parti yang belum tentu dapat mentadbir negara ini dengan baik sekiranya mereka menang,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, penubuhan sesebuah kerajaan tidak boleh di cuba-cuba kerana ia melibatkan kesan jangka masa panjang.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno hari ini sudah terbukti membawa banyak nikmat kepada rakyat dan sentiasa melakukan penambahbaikan untuk kesejahteraan semua.

"Justeru, pengundi muda seharusnya bersatu untuk mempertahankan kerajaan sedia ada agar segala pembangunan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini berterusan untuk generasi yang akan datang di bawah pentadbiran Kerajaan BN dan Umno,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas persiapan akhir Pergerakan Puteri Umno negeri sebelum tibanya hari pengundian, beliau menjelaskan Pergerakan Puteri Umno negeri giat mengadakan program yang melibatkan calon-calon BN yang bertanding pada PRU13 kali ini.

"Kita juga telah selesai mengadakan lawatan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Kuala Terengganu dan akan diteruskan ke daerah-daerah lain.

"Antara aktiviti yang dilakukan di setiap PDM yang dikunjungi ialah mengadakan program pemeriksaan kesihatan percuma dan aktiviti sampingan yang lain,” katanya.

Tambah beliau, dengan kecaknaan Kerajaan BN dan Umno terhadap golongan muda pada hari ini, beliau yakin sokongan padu akan diberikan oleh generasi pewaris ini sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan yang banyak berjasa kepada mereka.