Halaman

30 April 2013

Pengundi muda sokong BN

Oleh: Noraini Jusoh

Barisan Nasional (BN) yakin pengundi muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu kebanyakannya akan menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) kali ini.

Calon BN di DUN Teluk Pasu, Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, pengundi muda di kawasan tersebut yang pertama kali mengundi adalah sebanyak 3106 orang berumur antara 21 hingga 25 tahun.

"Manakala yang berumur antara 25 hingga 30 tahun seramai 3346 sementara yang berumur 30 hingga 35 tahun seramai 3246 dan kumpulan terakhir antara 35 hingga 40 tahun sebanyak 2221.

"Saya yakin dan percaya bahawa pengundi muda tetap bersama-sama dengan BN dan sekiranya ada yang tidak yakin dengan pengundi baru saya nafikan sekeras-kerasnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perjumpaan bersama pengundi muda bersempena Program Lawatan YAB Menteri Besar Terengganu ke Parlimen Kuala Nerus di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Teluk Pasu di Kampung Petai Bubus, semalam.

Katanya, sokongan yang ditunjukkan golongan muda terhadap BN sangat hebat sehinggakan ketika berkempen ada yang sanggup mengambil risiko memanjat pokok yang berdahan rapuh untuk menampal poster dan bendera selain terpaksa berhadapan dengan jentera Pas kerana memperjuangkan BN.

Tambah beliau, walau bagaimapun komitmen yang mereka berikan terhadap BN berbaloi kerana pengundi muda pada hari ini bertuah ekoran banyak bantuan yang diberikan kerajaan BN kepada mereka termasuk dari aspek pendidikan dan kebajikan.

Katanya, beliau yakin dan percaya anak muda kini telah matang berfikir dan tidak mungkin akan menyokong pembangkang.