Halaman

15 April 2013

Pemuda siap siaga tanpa kira siapa calon

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemuda Umno negeri sentiasa bersiap-sedia melaksanakan gerak-kerja tanpa mengira siapa calon yang bakal diketengahkan pucuk pimpinan parti, kata Ketua Pergerakannya, Encik Saiful Bahri Baharuddin.

“Saya selalu mengingatkan pimpinan dan jentera Pemuda supaya terus melakukan gerak-kerja tanpa mengira siapa calon kerana fokus utama adalah kesiapsiagaan jentera Pemuda supaya sentiasa bersiap siaga dalam keadaan kukuh dan bersatu-padu.

“Apabila jentera kukuh, mantap dan kita saling bersatu-padu, maka tanggungjawab kita untuk bekerja mempertahankan Kerajaan BN dapat dicapai dengan jaya. Keutamaan kita adalah memastikan PRU13 ini dimenangi oleh BN,” katanya kepada Teganukita, semalam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijangka akan mengumum dan menyerah surat tauliah kepada calon yang terpilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), esok.

Pengumuman itu selepas menerima surat tauliah calon dari Pengerusi BN, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Encik Saiful berkata tiada istilah kecewa dalam kepimpinan Pemuda kerana sudah menjadi lumrah pucuk pimpinan lebih berhak menentukan calon yang lebih layak dan mampu memberi kemenangan kepada parti.

Katanya, Pemuda selaku sayap parti akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja dan kemenangan BN dan usaha memperkasakan Umno Beliau berkata, bukan sahaja jentera bekerja- keras bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang dimenangi BN, malah berusaha merampas semula kerusi yang disandang pembangkang.

“Tanpa mengira masa dan ketika, kita akan sentiasa aktif dan menanam semangat kental bagi bekerja habis-habisan memastikan BN dan Umno mampu menawan dua pertiga kerusi pada PRU13 nanti.

 “Kemenangan BN dan Umno membuktikan kemenangan kita semua demi memastikan perjuangan membela nasib bangsa agama, negeri dan juga negara terus dipertahankan,” katanya.

Sementera itu, beliau juga akan memastikan semua golongan muda di Terengganu akan keluar mengundi pada PRU13 nanti untuk membantu BN mencapai kejayaan besar dan memenangi majoriti dua pertiga kerusi.

 Katanya, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun adalah seramai 343,938 orang atau 54.6 peratus daripada keseluruhan 629, 869 pengundi di Terengganu sehingga akhir tahun lalu.