Halaman

19 April 2013

PAS DAN PKR TERENGGANU MULA BERGADUH

Pas dan PKR akan sama-sama bertanding di Dun Seberang Takir dan Kota Putera 

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita.

Walau pun PKR telah diputuskan bertanding mewakili Pakatan di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di Terengganu, tetapi Pas engkar dan tidak mematuhi ketetapan tersebut.

Kerusi-kerusi PKR yang bakal ditandingi PKR ialah Permaisuri, Kota Putera, Telemong, Seberang Takir, Bukit Besi dan Bandar, manakala Parlimen ialah Kemaman.

Namun begitu, malam tadi di Rusila pemimpin utama Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bersama Abdul Wahid Endut mengumumkan juga calon mereka di Kota Putera dan Seberang Takir.

Ini merupakan suatu pencabulan dan janji tidak ditepati.

Setiausaha Politik Kanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PKR Terengganu, Abd.Rahman Yusof menyelar tindakan Pas yang tidak menghormati perjanjian.

“Pemimpin Pas perlu belajar menghormati keputusan kalau hendak rakyat menghormati mereka,” tegas Abd Rahman ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pagi ini.

Beliau bergegas balik ke Terengganu jam 11.00 pagi ini dari Kuala Lumpur setelah mendengar berita pencabulan hak PKR Terengganu oleh pemimpin Pas itu.

Abdul Rahman telah membuat lapaoran rasmi kepada PKR Pusat (Dato’ Seri Anwar) berhubung pencabulan hak PKR itu untuk tindakan selanjutnya.

Namun katanya, pertandingan tiga penjuru BN, PKR dan PAS akan berlaku di Dun Kota Putera dan Seberang Takir kerana “kami tak akan berundur dan tetap dengan keputusan dan perjanjian asal”.

Pemimpin Pas perlu menghormati PKR dan penjanjian asal, barulah rakyat akan hormati Pas, katanya dengan kesal.