Halaman

28 April 2013

Pak Yusof tidur dua jam sehari

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam sanggup bersengkang mata untuk bertemu pengundi di kawasan itu bagi memastikan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Yusof Awang, 50, yang mempunyai jadual tugasan padat bertemu seberapa ramai pengundi di kawasan itu, hanya tidur dua jam setiap hari.

Dengan pengalaman lima tahun sebagai Pegawai Pembangunan DUN, beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Usop menggunakan kelebihan itu untuk mendekati rakyat dan menggunakan pendekatan berborak dengan mereka bagi mendengar keluhan mereka.

Yusof Awang akan menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan calon PAS, Hilmi Harun, anak kepada Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan penyandang kerusi DUN Manir, Datuk Harun Taib.

"Selepas hari penamaan calon, jadual tugasan saya lebih padat, tidur pun dalam dua jam setiap hari, selepas menunaikan solat Subuh, saya terus jumpa mereka sambil mendengar masalah mereka.

 "Walaupun calon muka baru tetapi saya sudah lama mengenali kawasan ini dan banyak program cakna rakyat dilakukan sejak empat tahun lalu. Kita juga mewujudkan klinik percuma buat rakyat dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan," katanya kepada BERNAMA di Kuala Berang kelmarin.

 Antara perancangan bagi meneruskan pembangunan di daerah Hulu Terengganu sebagai daerah tumpuan pelancongan negara ialah membina tiga buah hotel di Tasik Kenyir, sebuah sekolah pondok agama moden di Manir dan 1,000 rumah mampu milik di sekitar daerah itu.