Halaman

01 April 2013

MB Nasihat Pengundi Lebih Berwaspada Isu Calit Dakwat

Menteri Besar Terengganu menasihati pengundi tidak
sewenang-wenangnya membiarkan sesiapa pun mencalit
dakwat kekal di kuku kecuali pada hari mengundi.
Oleh: Nurul Aziela Saberi 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengingatkan pengundi terutama di luar bandar dan di kampung supaya tidak sewenang-wenangnya membiarkan sesiapa pun mencalit dakwat kekal di kuku sebelum tiba di tempat mengundi.

Beliau berkata, dakwat kekal yang sebenarnya hanya akan dicalit sebelum pengundi menerima kertas undi ketika berada di pusat pengundian.

“Sekiranya berlaku unsur sebotaj, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak yang bertanggungjawab perlulah mengambil tindakan sekerasnya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pendedahan dalam beberapa blog mengenai cubaan pihak tertentu yang merancang masuk ke kampung dan mencalit dakwat kekal pada kuku pengundi sebelum menjelang PRU13 nanti.

Pembangkang juga diingatkan supaya tidak cuba mensabotaj penggunaan dakwat kekal menjelang PRU13 kerana penggunaan dakwat itu sendiri bagi memenuhi desakan pembangkang.

"Sebelum ini kita dinasihati supaya jangan menyerahkan kad pengenalan kepada orang lain apabila menjelang pilihan raya, sekarang sekali lagi kita diingatkan agar jangan membiarkan orang mencalit dakwat pada kuku sebelum masanya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Negeri Terengganu 2013 semalam.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan peruntukan Program Pembangunan Risda Negeri Terengganu 2013 berjumlah RM13 juta serta Bantuan Skim Intensif Produktiviti Getah (SIPG) dan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) 2013 berjumlah RM795,800 kepada penerima.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Rosli Othman, Ketua Pengarah Risda, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad, Ahli Dewan Negara yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah dan Pengarah Risda Terengganu, Zakaria Mat Zin.