Halaman

01 April 2013

Masjid disaran tubuh koperasi

Oleh; Esah Abdullah

 Pihak pengurusan masjid-masjid di negeri ini disaran menubuhkan koperasi masing-masing bagi menjana pendapatan serta tidak lagi bergantung bantuan kewangan daripada kerajaan semata-mata.

Pegawai Agama daerah Kuala Terengganu, Encik Ariffin Jusoh berkata, kemudahan yang disediakan di masjid juga boleh dimanfaatkan untuk aktiviti yang boleh menjana pendapatan.

“Idea penubuhan koperasi masjid adalah pendekatan yang paling sesuai untuk membolehkan masjid mempunyai pendapatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Bengkel Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Terengganu di Dewan Syarahan, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) Negeri Terengganu, Encik Mohamed Jais Hassan.

Katanya, apabila tertubuhnya koperasi secara automatik mempunyai syarikat sendiri dan seterusnya memberi peluang bersaing mendapat kontrak-kontrak seperti kontrak membersih masjid itu sendiri.

Menurutnya, kerajaan negeri membelanjakan memperuntukan yang tinggi untuk membina sesebuah masjid dan juga bagi prasarananya tetapi adalah satu kerugian jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana pendapatan.

 “Ia juga bukan hanya memberikan manfaat kepada anggotanya sahaja malah membantu mengukuhkan kewangan masjid serta tidak lagi perlu bergantung kepada sumber kewangan luar untuk melakukan sebarang program,” katanya.

Menurutnya, sebahagian masjid di negeri ini mempunyai kelengkapan terkini termasuk kemudahan dewan, kios dan ada juga mempunyai rumah persinggahan yang boleh dimanfaatkan bagi menjana pendapatan..

Katanya, walaupun proses menubuhkan koperasi kariah masjid agak rumit namun percaya usaha itu dapat dilakukan hasil sokongan agensi terlibat seperti Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Fungsi masjid tidak lagi sekadar menjadi tempat ibadat semata-mata, tetapi turut dijadikan tempat menjalankan aktiviti tertentu untuk kebajikan masyarakat setempat dan juga aktiviti koperasi,” katanya.