Halaman

20 April 2013

Mantan wakil rakyat BN hadir di pusat penamaan calon

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Esah Abdullah 

Bekas wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) turut hadir di pusat-pusat penamaaan calon di seluruh negeri, bagi memberi sokongan kepada calon-calon BN, termasuk muka baru yang akan bertanding pilihan raya ini.
Dato' Mohamed Awang Tera , mantan wakil rakyat Dun Chukai (kanan)  mengiringi calon-calon Parlimen Kemaman ke penamaan calon di Kemaman.
Ini merupakan petanda baik kepada BN yang mengemukakan kira-kira 45 peratus muka baru bagi PRU13 yang dianggap paling sengit dalam sejarah politik tanah air.

Di Setiu, keempat-empat mantan wakil rakyat dalam Parlimen berkenaan yang tidak tercalon semula pada PRU13 hadir memberi sokongan kepada BN di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Setiu, hari ini.

Mereka ialah Haji Khazan Che Mat (Batu Rakit), Haji Ashaari Idris (Langkap), Haji Ramlan Ali (Jabi) dan Haji Abdul Halim Jusoh (Permaisuri).

Kehadiran mereka menolak desas desus yang tersebar luas sebelum ini kononnya bekas wakil rakyat berkenaan dan penyokong masing-masing akan membaikot pilihan raya kali ini.

Haji Khazan yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) kelihatan ceria dan bersalaman dengan penyokong BN yang memenuhi kawasan berkumpul sambil menunggu pengumuman calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Beliau mengingatkan penyokong BN agar terus setia kepada parti yang memerintah demi masa depan generasi muda yang akan menempuh perjalanan panjang selepas ini.

“Saya tahu ramai yang buat cerita, tetapi Allah maha mengetahui, saya ahli Umno dan saya sangat sayangkan parti saya dan ingin melihat BN terus memerintah negara ini,” katanya.

Begitu juga Haji Ashaari Idris (mantan wakil rakyat Langkap) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri dan Haji Ramlan Ali (mantan wakil rakyat Jabi) turut hadir memberi sokongan.

“Soal calon merupakan kuasa mutlak presiden parti yang boleh bertukar ganti, tetapi parti BN mesti terus kekal memerintah negara ini,” kata Haji Ashaari.

Di Kemaman, bekas ADUN Cukai dan Exco, Dato’ Mohamed Awang Tera, turut ceria dan berada di dalam dewan tempat penyerahan borang pencalonan dan beramah mesra dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan semua calon di Parlimen Kemaman.

Di Besut, bekas Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Abdullah Mohamed Zin, turut berada di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Besut.