Halaman

06 April 2013

Manifesto BN Terengganu utama projek urbanisasi, ekonomi, pelajaran

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Projek urbanisasi dan perumahan, pembangunan ekonomi dan usahawan serta pendidikan menjadi agenda utama yang bakal dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang dijangka diumumkan minggu depan.

Manifesto tambahan bagi BN Terengganu itu akan menjdi pelengkap kepada maifesto BN Pusat yang akan diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dalam tempoh terdekat ini.

Apa pun, sama ada manifesto BN Pusat atau manifesto tambahan BN Terengganu, yang pasti ia dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, bukan janji kosong seperti yang dilakukan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

Manifesto tambahan BN Terengganu digubal berdasarkan keperluan semasa rakyat negeri ini, khususnya di segi penempatan dan peluang pekerjaan serta kepentingan bidang pelajaran yang akan mengubah masa depan keluarga berpendapatan rendah.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga Pengerusi BN Terengganu, berkata manifesto tambahan BN Terengganu akan diumumkan selepas manifesto BN pusat dilancarkan.

Manifesto tambahan BN Terengganu juga akan menitikberatkan bidang sukan bagi memantapkan kedudukan negeri ini sebagai kuasa baru sukan di negara ini.

Antara kemudahan yang bakal dilaksanakan di negeri ini jika BN masih terus berkuasa selepas PRU13 ialah menyediakan prasarana khas sukan berisiko tinggi dan membina gelanggang futsal di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).