Halaman

01 April 2013

Kerajaan negeri anjur pertandingan bot berhias

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan bot berhias sempena sambutan ulang tahun ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, 4 Mei ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato' Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, pertandingan bertemakan ‘Dirgahayu Tuanku, Tahun Melawat Terengganu 2013’ itu bakal disertai 16 jabatan termasuk tujuh pejabat daerah di negeri ini dan selebihnya jabatan kerajaan yang lain.

"Tujuh pejabat daerah itu adalah Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Besut, Dungun, Kemaman dan Setiu.

"Sementara Majlis Kebudayaan Kuala Nerus, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), TATI University College (TATIUC), TESDEC Sdn Bhd dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) juga akan menyertai pertandingan yang julung kali diadakan pada siang hari itu,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan penyertaan bot berhias bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-51 Hari Keputeraan KDYMM Sultan Terengganu di Prinzpark Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Dato' Haji Abdul Rahin berkata, pada pertandingan tersebut setiap daerah disyaratkan untuk menonjolkan produk masing-masing dan mereka bebas untuk memilih produk pelancongan yang ingin diketengahkan berdasarkan kreativiti tersendiri.


Katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM420,000 untuk diagihkan kepada semua pasukan yang terlibat sebagai bantuan menghias bot.

Tambah beliau, pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM25,000, kedua RM15,000, ketiga RM10,000 dan dua saguhati RM7,000 setiap satu manakala sistem pemarkahan akan dikira berdasarkan kreativiti sebanyak 30 peratus, kesesuaian hiasan dengan tema 30 peratus, kekemasan 30 peratus dan bonus sepuluh peratus.