Halaman

04 April 2013

DUN Terengganu dibubarkan malam tadi

Oleh: Fauzi Mohd

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan malam tadi selepas mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Sultan Mizan telah menurunkan tandatangan memberi perkenan pembubaran selepas beliau menghadap baginda kira-kira pukul 7.40 malam.

 "Pagi esok Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang akan menyerahkan watikah pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura di sini malam tadi.

Menteri Besar turut mengumumkan beliau akan mempertahankan DUN Kijal manakala Dat0’ Toh Chin Yaw mewakili MCA kekal bertanding di DUN Bandar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

 Pada majlis itu, beliau menyampaikan watikah kepada para Pengerusi Portfolio Pilihan Raya melibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, beliau menjelaskan, dua kerusi itu diumumkan lebih awal untuk mengelakkan spekulasi tidak menyenangkan termasuk dirinya yang dikatakan tidak dicalonkan oleh pucuk pimpinan manakala MCA merupakan kerusi tunggal bagi parti itu di negeri ini.

 "Nama-nama lain tidak boleh diumumkan selagi tidak menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pilihan Raya," ujarnya.

-