Halaman

02 April 2013

BN yakin terus berjuang bela nasib rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) yakin dapat meneruskan kesinambungan perjuangan membela nasib rakyat dengan mengekalkan mandat mentadbir Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusi Kelab Penyokong BN Terengganu, Dato’ Rosol Wahid bagaimanapun, tidak mahu semua kepimpinan parti itu menaruh keyakinan terlalu tinggi, sebaliknya menasihatkan semua Dewan Undangan Negeri yang menang majoriti kurang 1,000 undi memberi perhatian lebih rapi khususnya dalam menarik pengundi muda yang baru pertama kali membuang undi pada PRU nanti.

“Kita perlu kerja kuat bermula daripada semua penggerak, jentera parti dan juga Yang Berhormat (Ahli Dewan Undangan Negeri) di kawasan tersebut untuk memastikan kemenangan dengan majoriti lebih besar daripada apa yang sudah diperolehi sebelum ini.

"Tetapi, insya-Allah saya optimis dan yakin Terengganu masih mampu dikuasai oleh Kerajaan BN pada PRU13 nanti,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Dato’ Rosol yang juga Adun Ajil berkata, wujudnya gandingan 60 peratus muka baru mewakili kerusi BN pada PRU13 di Terengganu adalah perkembangan yang amat baik.

 “Sesuatu yang amat bagus kerana kita dalam proses transformasi. Jadi gabungan antara lama dan baru menjadi gandingan yang cukup baik untuk mneruskan kesinambungan perjuangan Umno dan juga BN.

“Jika 100 peratus mengekalkan muka lama akan berlaku jurang. Sebagaimana pasukan bola jika membuang muka lama dan memasukkan semua  muka baru, peminat tidak kenal siapa penjaga gol, pemain tengah dan pertahanan, jadi kita gabungkan antara muka lama dengan yang baru. Begitulah juga dengan proses peralihan dan juga transformasi pentadbiran, ia wajar dilaksanakan untuk masa depan parti BN,” katanya.

Beliau juga yakin BN akan memenangi majoriti dua pertiga kerusi yang dipertandingkan pada PRU ini dan terus relevan sebagai parti utama yang akan membentuk kerajaan bagi mengekalkan pentadbiran.

 Pada PRU12, BN Terengganu mengekalkan penguasaan dua pertiga apabila memenangi 24 daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan.