Halaman

19 April 2013

BN terus martabatkan pendidikan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan yang diberi mandat akan meneruskan kecemerlangan pendidikan kerana menyedari hanya melalui pencapaian akademik sahaja berupaya mengubah landskap negeri.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan amat menitikberatkan bidang pendidikan dan komitmen besar ini bertujuan mengangkat martabat pendidikan dengan melonjakkan pencapaian pelajar dalam semua peperiksaan awam.

“Hari ini apabila orang bercakap mengenai pendidikan, maka tidak dapat lari dari membayangkan kehebatan negeri Terengganu,” katanya ketika berucap di majlis Seminar Keibubapaan Hala Tuju Pendidikan Negeri Terengganu di Stadium tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Pelajaran, Encik Zakaria Hussin dan Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof.

Katanya, agenda ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ menyaksikan kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bidang pendidikan sebagai nilai tambah kepada pelajar.

Selain itu katanya, sistem pendidikan negeri juga kini meneroka era baru dan menjadi perintis kepada penggunaan komputer di sekolah. 

“Kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memastikan kecemerlangan pendidikan berterusan bagi mengekalkan Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu,” katanya.

Pada majlis sama Menteri Besar telah menyampaikan replika cek Bantuan Khas kepada 493 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menengah dan rendah seluruh negeri berjumlah RM493,000. Setiap PIBG menerima RM1,000.

Turut menerima penghargaan kerajaan ialah pelajar-pelajar cemerlang dalam SPM dan STPM yang masing-masing menerima wang tunai RM500 serta sebuah komputer riba.