Halaman

03 April 2013

BN akan terus bela nasib rakyat

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegaskan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan kesinambungan perjuangan membela nasib rakyat jika terus diberi mandat mentadbir Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dato' Seri Haji Ahmad ketika membuat sidang media
selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Iman.
Katanya, rakyat di negeri ini tidak wajar menolak tuah pada pilihan raya nanti kerana BN sudah banyak berjasa kepada rakyat dalam pelbagai aspek. 

“Cukup tidak adil dan boleh dianggap zalim jika seseorang itu memilih pembangkang yang belum tentu boleh memberi kebajikan dan kesejahteraan.

“Terengganu kini semakin maju, ditambah pula, kita yakin mampu menarik pelabur dari luar negara dengan jumlah pelaburan RM25 bilion menerusi industri besi waja di Kemaman dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO terakhir di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, tengah hari tadi. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu projek itu termasuk pembinaan kompleks besi bernilai RM15 bilion dan kilang besi bernilai RM10 bilion.

“Melalui kedua-dua projek ini dijangka dapat membuka peluang 5,000 pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya. 

Katanya, BN mampu mempertahankan negeri Terengganu daripada jatuh ke tangan pembangkang berikutan rakyat mula mempercayai apa yang dilaksanakan parti itu.


“Kita mampu kembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN bukan sahaja kepada mereka yang tinggaldi kawasan kubu kuat BN malah di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijajah pembangkang,” katanya.