Halaman

16 April 2013

BL1M bantu belia kurang berkemampuan

Oleh: Noraini Jusoh

Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang diperkenalkan Pergerakan Pemuda Umno dengan kadar harga serendah RM199 bagi mendapatkan lesen motosikal kelas B2 disambut baik golongan berusia 17 hingga 40 tahun di seluruh negara.

Bertujuan menggalakkan pemilikan lesen pemanduan yang sah dan membantu belia yang amat memerlukan lesen tetapi kurang mampu, program ini sedikit sebanyak dilihat dapat meringankan beban kewangan mereka.

Penceramah Kursus Pendidikan Pemandu (KPP), Abd Shukor@Ramli Abdul Hamid berkata, BL1M amat berguna kerana memberikan kemudahan kepada belia yang memerlukan.

"BL1M banyak keistimewaan terutamanya dari segi bayaran yang berpatutan berbanding jika dibuat di institut memandu memerlukan perbelanjaan yang lebih.

"Dengan adanya program ini dapat mengurangkan serba sedikit kos
atau perbelanjaan untuk mendapatkan lesen memandu bagi golongan belia yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita pada Majlis Pembahagian BL1M di Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Kolej Universiti Tati (TATiUC), Kemaman, semalam.

Katanya, lesen memandu ini halal dari segi perundangan kerana BL1M bukannya lesen terbang tetapi sama sahaja dengan yang terdapat di institut memandu.

Tambah beliau, program ini juga diiktiraf oleh kerajaan Malaysia dan beliau mengharapkan kepada yang sudah mendapat keistimewaan ini gunakanlah sebaik mungkin dan jagalah lesen tersebut dengan baik.