Halaman

26 April 2013

Bekas calon BN tetap setia

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Proses penamaan calon pada 20 April lalu mengesahkan desas desus kononnya bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bakal bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) hanya direka pihak tertentu yang bertujuan melemahkan jentera BN.

Kini terbukti tidak ada seorang pun daripada mereka yang telah digugurkan daripada senarai nama calon BN pada PRU13 yang mengemukakan borang pencalonan di mana-mana pusat penamaan calon di negeri ini.

Malah, semua bekas wakil rakyat BN hadir di pusat penamaan calon Parlimen masing-masing bagi memberi sokongan kepada mereka yang diberi amanat untuk bertanding atas tiket BN.

Sebaliknya, sebahagian besar kerusi Parlimen dan DUN di Terengganu yang melibatkan pertandingan tiga penjuru menyaksikan pakatan pembangkang masing-masing meletakkan calon mereka kerana tidak puas hati dengan pembahagian kerusi antara Pakatan Rakyat (PR).

Pada PRU13 yang ditetapkan 5 Mei depan, dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN di Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru manakala yang lain pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan PR.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika diminta mengulas desas desus kononnya bekas wakil rakyat BN akan bertanding atas tiket Bebas kerana tidak puas hati mereka digugurkan, menyifatkannya sebagai spekulasi golongan tidak bertanggungjawab yang mahu melemahkan jentera BN sahaja.

 Pemerhati politik berpendapat berdasarkan nama-nama yang bertanding atas tiket Bebas di negeri ini sama ada di kerusi Parlimen mahu pun DUN, tidak akan mengugat kedudukan BN.

Malah, mereka berpandangan di beberapa kawasan pula kehadiran calon Bebas memberi peluang lebih besar kepada calon-calon BN untuk menang kerana akan berlaku masalah pecah undi.

Kehadiran calon bebas di kebanyakan kawasan di negeri ini berlaku disebabkan rasa tidak puas hati dengan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Tindakan meletakkan calon bebas itu sengaja dilakukan pihak tertentu sebagai tanda protes kepada pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat berhubung keputusan meletakkan calon PR.

Kawasan yang melibatkan pertandingan tiga penjuru itu membuktikan tidak wujud persefahaman antara PR berhubung pembahagian kerusi menyebabkan parti-parti pembangkang akan berlawan sesama sendiri pada pilihan raya kali ini.

 Masalah ini berlaku sejak dulu lagi dan ia pasti akan memberi kelebihan kepada calon BN untuk menang dengan lebih selesa.