Halaman

17 April 2013

Barisan Nasional Besut pertaruh seorang calon Ketua Pemuda


Mohd Mahdi Musa calon BN (Kota Putera)

Oleh: Mohammad Ishak 

Barisan Nasional (BN) Besut mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno bahagian, Mohd Mahdi Musa, 44, sebagai calon baru selain mengekalkan empat calon lama pada Pilihan Raya Umum (PRU13) 5 Mei depan.

Mohd Mahdi,mewakili golongan muda dicalon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, mengambil alih tempat Muhammad Pehimi Yusof yang berpindah ke DUN Jertih.

Pemilihan Mohd Mahdi, yang juga seorang usahawan bagaimanapun, mengejutkan banyak pihak di bahagian berkenaan kerana beliau calon muda di bahagian itu.

Manakala empat yang dikekalkan termasuk Ketua UMNO bahagian Besut, Dato’ Seri Idris jusoh yang sebelum ini mewakili DUN Jertih yang berpindah ke Parlimen Besut. Pemimpin lain yang dikekalkan ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian, Nawi Mohamad (Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian,Muhammad Pehimi Yusof (Jertih) dan Setiausaha Bahagian,Dr A Rahman Mokhtar kekal di Kuala Besut.

Mohd Mahdi berkata,beliau sebelum ini tidak menyangka disenaraikan sebagai calon BN kerana mempunyai ramai tokoh di daerah itu.

“Saya mengetahui sebagai calon kira-kira jam 8 pagi semalam selepas dihubungi sendiri Menteri Besar,Dato’ Seri Ahmad Said yang memaklumkan hadir ke majlis penerimaan watikah,” katanya.