Halaman

15 April 2013

Aku Janji BN Terengganu dilancar

Oleh: Kamarudin Mat Akib 



Barisan Nasional (BN) Terengganu melancarkan Aku Janji BN Terengganu mengandungi 18 perkara yang bakal dilaksanakan di Terengganu jika mendapat mandat rakyat untuk terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Manifesto Tambahan BN Terengganu itu diumumkan Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam satu majlis di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, malam ini, dengan disaksikan ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN Terengganu.



Antara janji BN yang terkandung dalam manifesto berkenaan ialah membina 10,000 unit rumah mampu milik, peluang rakyat memiliki 1 tapak rumah atau 1 tapak pertanian dan pajakan tanah individu dinaikkan dari 30 tahun kepada 60 tahun.

BN juga berjanji akan menyediakan insentif khas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kritikal dan memperkasakan program e-Book.

Selain itu, BN juga akan membina tiga lagi Sekolah Imtiaz iaitu di Setiu, Marang dan Kuala Nerus bagi menjadikan satu daerah satu Imtiaz.

Pada masa yang sama, BN akan memperkenalkan Khairat dan Insurans Takaful Rakyat serta memperluaskan perkhidmatan pusat hemodialisis.

Melalui manifesto itu juga, BN berjanji untuk menyediakan dana pengurusan kepada pertubuhan belia dan NGO serta menjadikan sukan sebagai satu kerjaya.

BN akan mewujudkan gelanggang futsal di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan membina kompleks litar perlumbaan motosikal bertaraf antarabangsa.

Selain itu, BN akan memperhebatkan dana usahawan dan memperluaskan skala perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta menarik pelaburan lebih RM25 bilion dalam industri petrokimia, bioteknlogi dan kelului dengan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

BN Terenganu akan menjadikan Tasik Kenyir sebagai Hub Eko-Pelancongan dan Pulau Bebas Cukai.