Halaman

24 March 2013

Zalimkah kerajaan - MB

Oleh; Esah Abdullah


Nilai sebenar tanah adalah RM60,000 bagi satu Lot tetapi rakyat hanya perlu bayar RM3,000 untuk dapatkan tanah bekenaan, kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Zalimkah kerajaan kerana beri tanah dengan harga murah kepada rakyat,” tanya Menteri Besar di majlis Perasmian Gelanggang Futsal dan Penyampaian Geran Hak Milik di Kampung Penempatan Baru Banggol Binjai Jeram Hulu petang semalam.

Katanya, Kerajaan telah berbelanja RM3.4 juta bagi tujuan pengambilan balik tanah seluas 4.8 hektar untuk dijadikan penempatan baru yang di agihkan kepada penduduk terlibat dengan pembinaan jalan baru dari Kampung Petaling ke Jeram Tok Kong.

“Seramai 61 penduduk terlibat dengan pembinaan jalan berkenaan telah diberi tanah dan hanya dikenakan bayaran premium antara RM3,000 hingga RM3,500 sahaja untuk mendapatkan satu lot tapak rumah,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak pernah menzalimi rakyat contohnya mereka yang tinggal di sini (penempatan baru) di mana rumah dan tapak rumah mereka dinilai dan dibayar oleh kerajaan hingga ratusan ribu kemudian kerajaan sediakan pula kawasan baru bagi memudahkan mereka dengan bayaran sangat rendah dari nilai sebenar tanah.



 “Beritahu saya mana ada kerajaan lain di dunia ini yang buat seperti apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negara ini,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ahili Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh dan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu Haji Omar Mat.

Seramai 164 daripada 253 orang telah menerima geran hak milik membabitkan tapak rumah, bangunan dan kawasan pertanian dalam kawasan DUN Tepoh yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Pada majlis sama, Dato’ Seri Haji Ahmad turut merasmikan gelanggang futsal berharga RM350,000 yang boleh dimanfaatkan golongan muda untuk aktiviti bersukan dan sebagainya.