Halaman

11 March 2013

UniSZA sasar KPI 1,000 berita 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menetapkan sasaran 1,000 berita dan artikel mengenai pusat pengajian itu di media massa sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2013.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata sasaran itu realistik dan penting sebagai langkah meningkatkan promosi dan publisiti UniSZA supaya Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu lebih terkenal di mata umum dan mendapat tempat di kalangan pelajar dalam mahupun luar negara.

“Saya tetapkan supaya Bahagian Komunikasi Korporat (UniSZA) mampu mencapai KPI itu dengan menyediakan bahan berita supaya dapat disiarkan oleh pihak akhbar.

“Untuk mencapai matlamat itu, UniSZA juga akan menggalakkan pegawainya supaya menyediakan berita dan gambar yang sesuai untuk diedarkan kepada media di mana mungkin jika pihak media berkenaan tidak dapat membuat liputan (ketika majlis berlangsung) , kita sudah menyediakan bahan supaya dapat disiarkan mereka nanti,” katanya kepada pemberita di satu majlis, di Pulau Duyong, baru-baru ini.

Prof Dr Yahaya juga akan terus menerapkan amalan mesra media di setiap program yang bakal dilaksanakan pihaknya termasuk program bersifat antarabangsa.

Katanya, UniSZA yang merancang untuk menjalankan program mobiliti pelajar ke Aceh Indonesia yang dijangka pada Ogos ini, juga berhasrat membawa wakil media menyertai aktiviti khidmat sosial di negara jiran itu nanti.

 “Pada kali mungkin kita akan bawa pelajar dari Bidang Perubatan dan Sains Kesihatan bersama wakil wartawan sepanjang program itu, kemudiannya diikuti program-program antarabangsa yang lain.

“Wartawan akan dilibatkan bersama secara bergilir-gilir dalam usaha kita mendapat publisiti yang lebih meluas dan tepat di mana program itu dilaksanakan,” katanya.