Halaman

22 March 2013

TPM kagum pencapaian pendidikan di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah dan Suriati Ali

 Komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said terhadap pembangunan pendidikan membuatkan negeri Terengganu terus mencatat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan awam di negara ini.



Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, negeri Terengganu tiap-tiap tahun dapat keputusan yang hebat dan merupakan negeri yang catat keputusan cemerlang di negara ini.

“Saya iri hati juga kepada Terengganu kerana Johor negeri saya tidak boleh catat kecemerlangan seperti negeri ini , “ katanya ketika berucap di hadapan lebih 10,000 rakyat di majlis Jamuan Rakyat di Kampung Petai Bubus, Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus hari ini.

 “Saya ucap tahniah kepada Terengganu kerana dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru diumumkan, negeri ini mendahului negeri-negeri lain dan catat keputusan paling cemerlang,” katanya.

Hadir sama isteri beliau, Puan Seri Norainee Abdul Rahman: Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional negeri.

Katanya, kerajaan sebeginilah yang mesti kita sokong dan kekalkan kerana telah banyak memberi penekanan dan penambahbaikan terhadap pembangunan pendidikan demi masa depan generasi akan datang.



 Pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri telah menyerahkan Watikah Gerakan Pilihanraya kepada wakil-wakil Pusat Daerah Mengundi Parlimen Kuala Nerus yang diketuai Pengarah Pilihanraya Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.



Diikuti Pengerusi Pilihanraya DUN Tepoh (N09) YB Haji Muhamad Ramli Noh; Pengerusi Pilihan Raya DUN Teluk Pasu (N10), Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Pengerusi Pilihan Raya DUN Seberang Takir (N11) Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Pilihan Raya DUN Bukit Tunggal (N12) Haji Ismail Nik.