Halaman

09 March 2013

Terengganu membuka tirai Karnival Jom Heboh 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Karnival Jom Heboh (KJH) 2013 yang memasuki tahun ke -11 penganjurannya oleh Media Prima Berhad telah memilih Terengganu sebagai lokasi pembuka tirai sebelum meneruskan siri penjelajahannya ke negeri-negeri lain.

Berkonsepkan ‘rekreasi dan riadah’ rombongan KJH pada tahun ini telah berkampung di Pulau Warisan, Kuala Terengganu selama dua hari bermula semalam (8 Mac).

Di sebalik kemeriahan aktiviti hiburan yang dihidangkan kepada masyarakat Terengganu, Media Prima Berhad turut menunaikan tanggungjawab sosial dengan mengadakan aktiviti gotong-royong membaik pulih rumah Puan Ramlah Mohd Zain dari Kampung Balik Bukit dan menyumbang RM15,000 kepada beliau.


Selain itu, Tabung Wira Lahad Datu Media Prima turut diletakkan di gerai-gerai program bagi mengumpul dana untuk keluarga ahli pasukan keselamatan yang terkorban dalam misi pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar berkata, pihak TV3 amat bersyukur kerana KJH terus mendapat sambutan hebat khususnya oleh penonton setia TV3 di negeri ini.

"Saya merakamkan setinggi penghargaan terutamanya kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Polis Diraja Malaysia Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, pihak penaja, personaliti TV3, artis-artis yang turun padang serta para pengunjung KJH pada kali ini.

"Tanpa sokongan semua tidak mungkin karnival ini dapat direalisasikan dengan jayanya,” ujarnya ketika menemani Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengadakan lawatan ke tapak Karnival Jom Heboh TV3 di perkarangan Pulau Warisan, hari ini.

Katanya, tarikan terbaru KJH tahun ini adalah Selera@JOm Heboh, Wow Booth, Bananana! Land dan One Stop Center selain gerai Cereka, Studio 3 dan Kota Ilmu.


Sementara itu, dalam lawatan ke gerai-gerai yang terdapat di karnival tersebut, Dato’ Seri Haji Ahmad sempat menunjukkan kehebatannya memasak dengan mengadakan demostrasi masakan bersama chef Zaidah di gerai Selera@Jom Heboh.

Sebagai seorang Menteri Besar yang berjiwa rakyat, beliau turut mengambil kesempatan dalam lawatan itu untuk beramah mesra dan bertanya khabar pengunjung yang datang ke KJH.