Halaman

21 March 2013

Terengganu HT mampu beraksi cemerlang

Oleh: Suriati Ali 



Kerajaan negeri yakin pasukan baru, Terengganu Hockey Team (Terengganu HT) mampu beraksi cemerlang dalam Liga Hoki Malaysia, di Kuala Lumpur, bermula 22 Mac ini, walaupun pertama kali bersaing antara kelab-kelab hoki ternama lain di Malaysia dalam liga itu.



 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya percaya pasukan itu mampu mencipta nama kerana pernah meraih dua kejayaan manis iaitu menjadi juara Sukan Malaysia 2012 dan johan Hoki Piala Tun Razak edisi ke-50 baru-baru ini.

 “Kelebihan lain, pemain Terengganu HT terdiri daripada sembilan atlet Sukan Malaysia ( Sukma) dan enam pemain Kebangsaan, semua itu dianggap permulaan serta kelebihan terbaik untuk melangkah ke liga berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis memperkenalkan Pasukan Terengganu HT, di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Burok, malam tadi.



Sebelum itu, Dato’ Ahmad mewakili Pasukan Pejabat Menteri Besar berjaya mempamerkan beberapa aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan antara Terengganu HT.

 Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden Terengganu HT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Pada sama sama, kerajaan negeri menyerahkan replika cek RM1.3 juta sebagai simbolik menjadi penaja bagi pasukan itu, Penaja lain, Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (Ladang Rakyat) menyerahkan sejumlah RM600 ribu dan Commercial Ventures Enterprise (CVE Sports) menaja jersi dan pengangkutan.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju menggunakan khidmat dua permain import profesional dari mana-mana negara seperti Australia dan Korea sebagai langkah memantapkan lagi Terenggannu HT .

Katanya, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri dan beberapa pihak berkaitan lain untuk mencari dan memilih mereka yang diyakini sesuai. .

 “Apabila sudah ada permain import, kita boleh guna khidmatnya pada kejohanan akan datang, langkah ini pasti mampu memantapkan lagi pasukan sedia ada,” katanya .