Halaman

28 March 2013

Terengganu belanja RM12 juta bantu pesakit

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri membelanjakan RM12 juta bagi membeli pelbagai keperluan pesakit melalui Dana Kebajikan Sosial Perubatan yang dimulakan sejak 2008.

 Dalam tempoh berkenaan, lebih 3,000 pesakit di seluruh negeri mendapat faedah daripada penubuhan dana berkenaan.

 Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata dana tersebut diwujudkan hampir bagi membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah. “Apa yang dibelanjakan itu, termasuk membiayai pembelian barangan seperti susu khas, lampin pakai buang, kerusi roda, katil dan pelbagai peralatan perubatan.

“Bukan itu saja, kita turut menghulurkan bantuan jangka pendek iaitu membiayai tambang ke Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Teganukita. 

Katanya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyalurkan peruntukan khas kepada pihak hospital untuk menaiktaraf kesihatan pesakit di mana dalam tempoh lima tahun RM12 juta dibelanjakan bagi memenuhi tuntutan itu.

 “Sebagai contoh, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan walaupun menyediakan berbagai skim bantuan untuk golongan miskin, namun skim dan bantuan itu dalam kadar maksimum dan agak terhad.

 “Menyedari kelemahan itu kerajaan mengambil langkah segera dengan menubuhkan dana berkenaan yang boleh dinikmati oleh seluruh rakyat yang layak dan boleh memohonnya melalui hospital berdekatan,” katanya.

 YB Dr Haji A Rahman turut memberitahu, kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa agensi lain telah melakukan pelbagai program tranformasi semata-mata mahu memupuk semangat tolenrasi, kerjasama dan sepakat antara pelbagai bangsa dan kaum.

 “Program yang diwujudkan itu, termasuk program rukun tetangga, Kelab & Sekretariat Rukun Negara, minggu perpaduan, debat perpaduan, lawatan intergrasi dan pelbagai program bersama masyarakat,” katanya.