Halaman

28 March 2013

Amalan CTI untuk penuhi interpretasi rakyat : SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) perlu membudayakan amalan CTI (cepat, tepat dan integriti) dalam melaksanakan tugas supaya dapat memenuhi kehendak dan interpretasi seluruh rakyat, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

 “Dalam hubungan ini, semua TCS harus menerapkan sikap jujur, adil dan prihatin bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang sentiasa menilai dan mengharapkan perkhidmatan terbaik dari penjawat awam.

“TCS juga harus komited, tangkas dan  mengejar tempoh kemustahilan dalam melaksanakan tugas sebagaimana saranan Perdana Menteri dan Menteri Besar,” katanya di Majlis Ramah Mesra Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu Bersama YAB Menteri Besar di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Azlan Dagang.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Haji Mohd Kamil Othman, semua pegawai daerah dan yang dipertua perbandaran daerah seluruh Terengganu.

Dato’ Haji Mazlan turut menasihatkan TCS lebih produktif, kreatif dan inovatif dalam mengamalkan CTI supaya perkhidmatan awam lebih berkesan serta dipandang tinggi oleh semua pihak.

“Dalam perkembangan dunia tanpa sempadan, penjawat awam harus berani menerokai idea baru yang lebih kreatif dan inovatif bagi mencapai kejayaan yang diidamkan.

 “Pada masa yang sama, kita juga harus berani memisahkan perkara tradisional dan moden, selain memecah tembok mustahil untuk menilai keupayaan dan kreativiti diri dan organisasi menjayakan setiap tugas.

 Beliau berkata, golongan itu juga wajar memahami masalah dan menjaga kebajikan setiap pekerjaan bawahan supaya wujud hubungan baik dan kesejahteraan, sekaligus suasana harmoni itu akhirnya mampu menghasilkan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.