Halaman

02 March 2013

Suasana sedih diupacara pengkebumian Inspektor Zulkifli Mamat


Bacaan talkin untuk arwah Zulkifli Mamat

Oleh: Mohammad Ishak

Suasana pilu dan hiba menyelubungi sanubari orang ramai yang menyaksikan upacara pengkebumian Wira Negara, Allahyarham Zulkifli Mamat, 29, sebik sahaja arwah diturunkan ke liang lahat kira-kira jam 5 petang semalam.

Kira-kira 2,000 penduduk tempatan termasuk pemimpin kerajaan dan pegawai kanan polis menghadiri upacara ketika dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor, dekat sini.

Jenazah Inspektor Zulkifi tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, tepat jam 3 petang dengan pesawat khas tentera.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berangkat di kompleks TUDM untuk memberi penghormatan terakhir sebaik jenazah tiba dari Kuala Lumpur.

Antara kenamaan yang menyambut jenazah ialah Ketua Polis Terengganu Datuk Jamsah Mustafa, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari pengkalan TUDM kira-kira jam 4 petang dan tiba di rumah ibunya, Khatijah Ismail di Kampung Kubang Ikan, Besut dua puluh minit kemudian..

Upacara solat jenazah diadakan di rumah ibunya dengan diimankan oleh Mohd Shabri Harun dari Pejabat Bahagian Agama Kontijen Kuala Terengganu manakala bacaan talkin dilakukan oleh Zulkifli Ahmad dari Ibu Pejabat Polis Daerah Besut,Kampung Raja.

Isteri arwah, Nor Aziah Nor,28 bersama dua anaknya yang menaiki pesawat bersama allahyarham ditemani oleh pegawai kanan polis kelihatan tidak bermaya sebaik tiba di pengkalan TUDM dan terpaksa dibawa menggunakan kerusi roda ke kenderaan lain.

Bagaimanapun, Nor Aziah turut menyaksikan upacara pengkebumian dan penghormatan terakhir tanpa ditemani dua anaknya.

Kehadiran ramai penduduk tempatan dan kenamaan memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu membangkit semangat isteri arwah serta keluarga yang kehilangan orang tersayang.