Halaman

31 March 2013

Sedia RM12 juta, ganti paip bocor

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi melaksanakan projek-projek penggantian paip yang mengalami masalah kebocoran tahap kritikal tahun ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pelaksanaannya terpaksa digerakkan secara berperingkat-peringkat kerana melibatkan peruntukan yang besar.

 Katanya, masih terdapat 1,700 kilometer paip-paip jenis asbestos cement (AC) daripada 8,000 kilometer jaluran paip di negeri ini yang perlu diselenggara ekoran telah melebihi tempoh hayatnya.

"Pada tahun 2010, Syarikat Air Terengganu (Satu) terpaksa menanggung kos penyelenggaraan paip air sebanyak RM2.1 juta dan meningkat kepada RM4.9 juta (2011), seterusnya kepada RM6.2 juta (2012).

"Kos-kos ini terpaksa dibelanjakan setiap tahun walaupun tinggi bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang selesa, selain meminimumkan gangguan bekalan dan menurunkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW)," katanya pada satu majlis baru-baru ini.

 Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, melalui penyelenggaraan paip-paip bermasalah itu, beliau yakin kadar NRW dapat dikurangkan, sekali gus sasaran kerajaan negeri menurunkannya kepada 32 peratus tercapai.

Menurut beliau, kualiti air terawat di negeri ini antara yang terbaik dan dari segi bekalan, Terengganu mempunyai bekalan air mentah yang mencukupi untuk tempoh 30 tahun akan datang dengan sungai-sungainya yang masih terpelihara daripada pencemaran.

“Kerajaan negeri turut mencadangkan supaya semua operator air di seluruh negara berkongsi maklumat, kaedah, pengalaman dan teknologi serta mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu NRW dengan bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai fasilitator.

 “Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air perlu menyediakan peruntukan mencukupi bagi pelaksanaan program atau projek berkaitan NRW memandangkan peruntukan kerajaan negeri amat terhad,” katanya.