Halaman

01 March 2013

Sambutan meriah kepada peserta lumba basikal LTDL di Bandar Jertih


Peserta perlumbaan tiba di Bandar Jertih jam 9.20 pagi ini.

Oleh: Mohammad Ishak

Ribuan penduduk sekitar daerah Besut membanjiri Bandar Jertih untuk menyaksikan perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat kesembilan dari Tanah Merah,Kelantan ke Kuala Berang, hari ini.

Orang ramai berkumpul sejak awal pagi untuk menyaksikan jaguh lumba basikal yang melalui jalan utama Jertih-Kuala Terengganu.

Peserta perlumbaan yang berlepas dari Tanah Merah,Kelantan tiba di Bandar Jerih kira-kira jam 9.20 pagi dan diberi sambutan meriah oleh penduduk daerah itu.

Lokasi yang menjadi tumpuan ialah di hadapan Replika 1Malaysia raksaksa yang diletakkan di hadapan Pejabat UMNO Bahagian Besut yang turut menempatkan khemah kenamaan.

Kehadiran peserta perlumaan di tengah bandar ini menceriakan suasana dengan keadaan cuaca yang amat baik dan panas ketika program berkenaan berlangsung.

Cuti hujung minggu pada hari Jumaat memberi peluang orang ramai keluar untuk menyaksikan perlumbaan yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh penduduk tempatan.