Halaman

22 March 2013

Pemimpin pembangkang tidak tetap pendirian

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengandar cenderahati daripada kepimpinan Umno Terengganu.
Oleh: Aida Abd Rahman

Pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR) sentiasa mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kepentingan umat Islam termasuk dalam isu kalimah Allah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata pemimpin pembangkang seperti Presiden Pas, Dato’ Sri Abdul hadi Awang sudah diketahui ramai tidak mempunyai pendirian tetap dan sering berdolak-dalik berhubung isu kalimah Allah.


“Apabila isu kalimah Allah dibangkitan, isu ini semua orang tahu apa pendirian Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengenai isu kalimah Allah. Dia berdolak dalik, tidak istiqomah. Saya sebutkan dia tidak beristiqomah kerana hari ini dia kata tidak boleh. Sememangnya umat Islam mempertahankan kalimah Allah.

“Saya sebagai seorang pemimpin Islam mempertahkankan kalimah Allah adalah untuk orang Islam sahaja. Tidak boleh biarkan kepada pihak orang-orang lain (bukan Islam), menggunakan kalimah Allah hanya untuk orang Islam, bahawasa-Nya Allah Yang Satu . Itu sahaja. Tidak boleh disamakan dengan agama-agama yang lain, walaupun tidak menggunakan perkataan itu yang boleh mengelirukan kita,” katanya di Himpunan Rakyat 1Malaysia peringkat Negeri Terengganu, di Padang Bola Rhu Rendang, Marang, hari ini.

 Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua-Ketua Umno Bahagian serta Ahli Parlimen seluruh Terengganu.

Tan Sri Muhyiddin berkata, Presiden Pas itu terpaksa mengubah pendirian dan bersekongkol dengan DAP bukan sahaja dalam isu kalimah Allah, malah pelbagai isu lain termasuk membentuk Negara Islam kepada Negara Kebajikan dan juga pelaksanaan hukum hudud disebabkan mahu menjaga kepentingan politik semata-mata.

“Bagaimana pendirian (Dato’ Seri) Abdul Hadi. (Dia kata) Tidak boleh. Selepas itu ada satu Majlis Syura Pas kata ini tidak boleh, dia (berubah) kata boleh. Dimanakah pendirian dia. Pasal apa bertukar pendirian dia. Hanya kerana kepentingan politik Pas. Pasal dia sudah bersekongkol dengan DAP.

 “ Bila DAP tidak bersetuju dengan Negara Islam, bila disebutkan oleh pemimpin Pas kita mahu membentuk Negara Islam, (Pengerusi DAP) Karpal Singh sudah berkata `langkah mayat saya dahulu, kalau kamu hendak bentuk Negara Islam’.

“Jadi akhirnya pemimpin Pas terpaksa tunduk kepada DAP, tidak sebut lagi Negara Islam, jadi Negara Kebajikan. Sudah jauh pada prinsip perjuangan asal mereka,” katanya.

Beliau berkata, pendirian Pas untuk kekal dalam Pakatan Rakyat adalah untuk faedah diri, anggota dan pemimpin Pas sahaja, bukan untuk prinsip perjuangan bagi masyarakat Islam keseluruhannnya.

 Pada masa yang sama, Tan Sri Muhyiddin juga mengingatkan supaya rakyat tidak terpengaruh dengan fatwa-fatwa baru yang akan dikeluarkan parti pembangkang apabila tiba hampir dengan pilihan raya ini.

“ Apabila dekat dengan pilihan raya maka akan keluarlah berbagai fatwa-fatwa baru. Saya tidak payah sebut, sebab tadi Menteri Besar sudah beritahu di mana asas fatwa yang dikeluarkan Haji Hadi mengharamkan makan sembelihan orang Umno, tidak boleh itu dan sebagainya yang dikeluarkan dalam amanat Haji Hadi,” katanya.

Beliau juga menasihatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan apa yang dijanjikan pembangkang kerana mereka terbukti gagal melaksanakannya di DUN, Parlimen mahupun negeri yang dikuasai mereka kini.