Halaman

16 March 2013

Pas tidak mampu perintah negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

 Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong diingatkan bahawa Pas tidak mampu memerintah negara kerana melalui Pakatan Rakyat (PR) Pas hanya diberi kuota yang kecil dalam pembahagian kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

 Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata Pas dijangka memperolehi antara 50 hingga 60 kerusi Parlimen saja manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan membolot bilangan kerusi yang jauh lebih besar.

 “Oleh itu, pemimpin Pas tidak boleh ‘bermimpi di siang hari’ untuk mengetuai Kerajaan Pusat sekiranya pembangkang menang pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis pembahagian hamper Program “1 Rumah 1 Hamper” anjuran DUN Bukit Payong di Balai Raya Kampung Belukar Jambu, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika pengundi memilih calon-calon PR mereka akan ditimpa bala besar kerana PR yang sebahagian besarnya didokong pemimpin bukan Islam dan Melayu akan menindas masyarakat Islam di negara ini.

 “Pada waktu itu kita menangis hingga kering air mata pun tidak ada guna lagi. Oleh itu, sebelum ‘nasi menjadi bubur’, marilah kita sama-sama mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti membela nasib umat Islam dan masyarakat Melayu di negara ini,” katanya.

Encik Zaidi berkata, pemimpin BN sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk di kawasan Bukit Payong walaupun ia dikuasai parti pembangkang.

 “Macam-macam kita bagi kepada penduduk kawasan ini. Semua bantuan yang diterima penduduk kawasan lain seperti bantuan persekolahan anak-anak, BR1M, sumbangan hari raya dan bantuan dari Jabatan Kebajikan masyarakat, kita dapat juga,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta pengundi kawasan berkenaan supaya memilih calon BN pada pilihan raya kali ini supaya mereka dapar terus menikmati bantuan yang diterima selama ini.

 Sementara itu, kira-kira 180 ketua keluarga di kampong berkenaan menerima sumbangan hamper daripada Encik Zaidi, sebagai tanda sokongan mereka kepada Kerajaan BN selama ini.