Halaman

02 March 2013

Pas jauh tersasar- Dato’ Abdul Rahman

Oleh: Suriati Ali 

 Perjuangan PAS semakin tersasar apabila Pas lebih sanggup mengetepikan matlamat asal kononnya untuk memperjuangkan Islam, semata-mata ingin menjaga hubungannya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

 Usaha melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam kini semakin lenyap daripada sebutan pemimpin parti itu lebih-lebih lagi untuk menjaga hati pemimpin DAP.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dat0’ Abdul Rahman Bakar berkata, apa yang Pas buat selama kini sudah memakan dirinya sendiri bermula dengan isu Amanat Haji Hadi, Kalimah Allah, Doa Hancur BN dan yang terbaru menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan.

"Amanat Haji Hadi telah menyebabkan berlaku perpecahan umat Islam di Malaysia hari ini dan amanat ini makan diri Hadi (Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) begitu juga dengan isu kalimah Allah, ini semua hasil kerjasama Pas dengan DAP sehingga sanggup untuk menggugurkan prinsip Islam," katanya.

Beliau berkata, perjuangan Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam kini turut dilupakan dengan menukar ia daripada penubuhan negara Islam kepada negara kebajikan, semata-mata untuk menjaga hati Pengerusi DAP, Karpal Singh yang kurang senang dengan matlamat Pas sebelum itu.

 Katanya, pemimpin Pas iaitu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga merupakan Mursyidul Am Pas sanggup menghina penerima BR1M dengan mengumpamakannya seperti 'menabur padi dan hampas kelapa kepada ayam dan lembu'.

 Bercakap tentang sokongan rakyat kepada Pas, beliau berkata, kini semakin ramai pengikut Pas yang kecewa dan meninggalkan parti itu kerana tidak lagi yakin dengan perjungan sebenar Pas untuk menegakkan negara Islam.

 Katanya, Pas akan menerima akibatnya pada PRU-13 dan tidak mustahil rakyat juga akan menolak Abdul Hadi di kawasannya sama ada di Marang (Parlimen) dan Rhu Rendang (Dewan Undangan Negeri).

 Pada PRU-12 Abdul Hadi hanya menang dengan majoriti 2,747 di Marang manakala 2,686 di Rhu Rendang dan beliau sebenarnya pernah kalah di tangan Abdul Rahman yang digelar 'Giant Killer' pada 1984 dan 2004.

 "Saya yakin PRU-13 kali ini adalah peluang terbaik kepada rakyat untuk menolak Pas yang telah banyak membawa perpecahan dan menjatuhkan maruah umat Islam," katanya yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.