Halaman

20 March 2013

MB gembira prestasi STPM Terengganu meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said meluahkan rasa gembira dan bangga dengan peningkatan prestasi pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) seluruh Terengganu berbanding 2011.

Terengganu merekod pencapaian 96.01 peratus (2012) berbanding 95.34 peratus pelajar yang mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil STPM pada tahun sebelumnya.

“Malah, dengan pencapaian 96.01 peratus itu, membolehkan Terengganu mengatasi pencapaian nasional yang merekod 94.44 peratus.

 “Seramai 15 pelajar berjaya memperolehi 4.00 flat (empat prinsipal A) berbanding hanya empat pelajar tahun lalu. Daripada 442 orang mendapat 4.00 flat seluruh negara, 15 daripada mereka adalah dari Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Menteri Besar turut memberitahu, prestasi Sijil Pelajaran Malaysia seluruh Terengganu yang akan diumumkan serentak seluruh negara esok, juga membanggakan berikutan pencapaian keseluruhan A meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Dalam laporan sebelum ini, Terengganu terus mencatat peningkatan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila 2, 861 atau 96.01 peratus daripada 2,980 calon peperiksan itu tahun lalu mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil.