Halaman

15 March 2013

Maidam bakal terbitkan Glosari Islam

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bakal menerbitkan buku Glosari Islam khusus untuk kegunaan Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran dan dijangka dikeluarkan awal tahun hadapan.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Maidam, Dato’ Haji Mohd Rozali Salleh berkata, setakat ini belum ada bahasa isyarat khusus dalam bidang Islam untuk rujukan orang cacat pendengaran.

"Jika kita lihat, terdapat bahasa isyarat umum yang dibukukan tetapi belum ada panduan bahasa isyarat mengenai agama Islam yang dibukukan.

"Saya dapati ramai OKU terpinggir dari segi pembelajaran agama dan pernah bertemu dengan mereka yang cacat pendengaran yang tiada kefahaman tentang Allah s.w.t dan dari situlah timbul idea untuk membuat buku Glosari Islam,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada sidang media di Majlis Perasmian Penutup Kem Ibadah Orang Kelainan Upaya (Anggota) Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Dato’ Haji Rozali, buat masa ini pihaknya sedang berusaha mengumpul material bagi merealisasikan projek yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM300,000 itu.

"Buat permulaan, kita berusaha mendapatkan kerjasama dengan pihak-pihak tertentu dan mengumpul maklumat yang perlu untuk menerbitkan Glosari Islam ini.

"Atas rasa tanggungjawab dan merasakan mereka perlu diberi perhatian sewajarnya pihak kami sedang mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Orang-Orang Pekak Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi berkaitan untuk berbincang mengenai projek ini,” katanya.

Tambah beliau, jika perlu pihaknya juga akan mengadakan lawatan ke negara Islam seperti Mesir dan Arab Saudi untuk meninjau dan melihat sendiri Glosari Islam sekiranya terdapat disana untuk dijadikan contoh.

Katanya, hasrat Terengganu untuk menjadi negeri perintis kepada projek penerbitan Glosari Islam bagi membantu OKU (pendengaran) meningkatkan kefahaman mengenai agama Islam dapat dicapai dengan jayanya sekiranya mendapat kerjasama, persetujuan dan sokongan dari semua pihak.