Halaman

21 March 2013

Kursus aritmetik kunci kejayaan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

“Kursus aritmetik mental yang diikuti Anis semasa kecil merupakan salah satu faktor kejayaan anak saya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012,” kata Puan Ratna Nainy, 45, ibu kepada Anis Raihan Asmadi, 18, yang merupakan seorang daripada 19 pelajar cemerlang negeri ini yang berjaya memperolehi semua A+ dalam keputusan SPM kali ini.

Kursus aritmetik mental merupakan latihan intensif untuk mengembangkan minda kanak-kanak dalam mempelajari matematik khususnya dengan cara yang betul dan cepat terbukti membantu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan  Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek itu meraih keputusan cemerlang 11A+ bagi semua mata pelajaran yang diambilnya.



Anak sulung empat beradik itu melahirkan rasa bersyukur kepada Allah s.w.t atas kejayaan yang diperoleh dan menyifatkan kejayaan itu bukan miliknya tetapi pinjaman daripada Allah s.w.t semata-mata.

"Saya turut terhutang budi kepada ayah dan ibu serta guru di SMKA Sheikh Abdul Malek, guru tuisyen serta datuk dan nenek selain rakan-rakan yang banyak memberi bantuan dan dorongan selama ini.



"Petua belajar yang selalu saya amalkan ialah belajar setiap malam dan habiskan silibus yang diajar guru manakala dari sudut rohani saya selalu lakukan solat Taubat dan Hajat setiap malam serta tidak lupa berdoa kepada Allah s.w.t kerana doa adalah senjata untuk berjaya,” ujarnya ketika ditemui Teganukita ketika megambil keputusan SPM di sekolah tersebut, hari ini.

Anis Raihan yang merupakan pelajar aktif dalam aktiviti kokurikum juga seorang pemidato terhebat di sekolah serta mewakili negeri ke pertandingan di sekolah luar Terengganu, bercita-cita menjadi seorang peguam seperti ayahnya, Encik Asmadi Awang, 46, seterusnya berhasrat untuk meneruskan legasi di firma guaman milik ayahnya suatu hari nanti.

"Kata-kata motivasi yang sering diberikan oleh ayah dan ibu turut menambah semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan dalam SPM,” katanya.

Sementara itu, Puan Ratna berkata, beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi dan redha setiap ketentuan Ilahi  dengan apa sahaja keputusan peperiksaan yang bakal diterima cahaya matanya itu, bagaimanapun dengan kecemerlangan berkenaan, mereka sekeluarga sangat bersyukur dan berbangga walaupun sebelum ini Anis merekod 10A dan 1B dalam peperiksaan percubaan SPM.

"Dari kecil Anis sudah diserapkan dengan motivasi, malah mampu membaca serta menunjukkan potensi sejak sekolah rendah dan apabila di peringkat menengah sudah pandai berusaha sendiri,” katanya yang merupakan Juruhias Dalaman.

Tambah beliau, kejayaan yang diperoleh anaknya turut dibantu pihak kementerian dengan mengadakan kelas tambahan di sekolah dan kestabilan ekonomi di negeri ini.



Kejayaan Anis Raihan turut dikongsi sahabatnya Syafiqah Yusof,18, yang memperoleh keputusan 11A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil dan turut dinobatkan antara 19 pelajar cemerlang bagi seluruh  Terengganu.