Halaman

15 March 2013

KTCC kekal sejarah, budaya dan pacu kemajuan Kuala Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembangunan Pusat bandar Kuala Terengganu (KTCC) sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air bukan sahaja akan mengekalkan kegemilangan sejarah serta ketinggian budaya dan tradisi Terengganu, malah memacu Kuala Terengganu maju ke hadapan selaras dengan peredaran zaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Jebasingam Issace John, berkata pembangunan KTCC Mall sebahagian daripada komponen pembangunan KTCC yang melibatkan pusat membeli-belah, sebuah hotel dan ruang perniagaan mewah merupakan satu titik permulaan bagi transformasi bandar Kuala Terengganu.

“Ia selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang antara lain bertujuan melahirkan masyarakat amju, bersatu-padu dan saksama mencapai tahap kehidupan yang tinggi untuk semua rakyat.

 “Pembangunan ini juga akan melonjakkan kedudukan Kuala Terengganu yang sudah dikenalpasti sebagai Gerbang pelancongan bagi Wilayah ECER,” katanya kepada pemberita ketika berucap di Majlis Perasmian Pecah tanah KTCC Mall, di tapak projek bersebelahan lorong Hotel Sumai, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang melancarkan majlis itu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Mohd Adzlan Dagang dan Pengarah Urusan Kumpulan KTCC Mall Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Tang Yeam Soon.

Dato’ Jebasingam berkata, Kuala Terengganu sememangnya kaya dengan warisan sejarah, di aman pembangunan bandar itu sebahagian besarnya tertumpu di sekitar kawasan muara Sungai Terengganu sejak ratusan tahun dulu.

Menurutnya, pembangunan KTCC yang merangkumi KTCC Mall itu bakal memperkayakan lagi warisan sejarah dan tradisi negeri Terengganu.

 “Projek bersepadu KTCC Mall ini sememenagnya amat signifikan kepada warga Kuala Terengganu kerana ianya membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan moden yang serba lengkap, di samping membolehkan mereka merebut peluang pekerjaan dan perniagaan yang akan diwujudkan susulan pembangunan itu,” katanya.

Beliau sebelum itu berkata, pihak ECERDC bertanggungjawab melaksanakan pelbagai projek strategic dan berimpak tinggi di seluruh Terengganu yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat termasuk projek Taman Biopolimer Kertih, Agropolitan Besut-Setiu dan KTCC.