Halaman

13 March 2013

KIST tawar empat bidang baru penuhi pasaran kerja

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Terengganu mengorak langkah memperkenalkan empat kursus baru bagi memastikan graduan pusat pengajian itu nanti mampu memiliki kerjaya lebih baik dan memenuhi kehendak pasaran kerja masa kini.

Program pengajian yang ditawarkan di peringkat diploma itu membabitkan bidang Pengajian Syariah, Pengurusan Pemakanan Halal, Psikologi Kanak-Kanak dan Kewangan Islam.

Ketua Eksekutifnya, Encik Mohd Norizal Nawang, berkata bagi pengambilan pertama, seramai 200 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipilih untuk mengikuti kursus berkenaan sebelum ditambah secara berperingkat-peringkat bergantung kepada kemudahan prasarana dan tenaga pengajar yang ada di KIST.

"Untuk peringkat pertama kita buka sejak Februari lalu kepada 200 pelajar sahaja kerana bilangan tenaga pengajar dalam bidang ini agak terhad iaitu lapan orang. "KIST akan mengkaji dan bersedia menambah jumlah pelajar dari semasa ke semasa jika dapat sambutan yang positif, selain cuba menyediakan lebih ramai pensyarah di bidang berkenaan," katanya selepas Majlis Penyampaian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), di KIST Kuala Berang, hari ini.

Seramai 604 pelajar menerima BBIM yang disampaikan oleh Naib Presiden Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam KIST, Roomai Nor Ali.

Encik Mohd Norizal berkata, penawaran kursus baru berkenaan mampu membuka peluang untuk graduan KIST mendapat kerjaya yang menepati permintaan pasaran kerja masa kini.

"Semua program ini hanya ditawarkan di KIST cawangan Terengganu kerana ia bersesuaian dengan pembangunan kerjaya dan potensi bidang di kawasan ini.

 "Bidang pemakanan halal umpamanya semakin berkembang maju dan menyediakan jutaan peluang pekerjaan kepada graduan bukan sahaja dalam negara malah di negara luar dan kita juga tidak mahu ketinggalan dalam merebut peluang itu," katanya.

KIST Terengganu menawarkan 10 bidang pengajian dalam bidang diploma termasuk empat kursus baru  serta melibatkan 800 pelajar sejak ditubuhkan empat tahun lalu.