Halaman

26 March 2013

Pastikan kestabilan politik untuk kesinambungan kehebatan pendidikan : Dato' Razif

Oleh: Aida Abd Rahman

Rakyat Terengganu memainkan peranan penting bagi memastikan kestabilan politik negeri dengan mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar kesinambungan pembangunan, termasuk kehebatan di bidang pendidikan terus kekal, kata Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

 “Oleh kerana itu apa yang mustahak adalah kestabilan politik. Kita perlu tegaskan kepada penduduk dan masyarakat Terengganu supaya mereka memastikan Terengganu stabil dari aspek politik. 

“Dari segi ekonomi kita Alhamdulillah, tetapi dari segi politik kita masih lagi tidak stabil kerana pembangkang tidak melihat apa yang terjadi (perkembangan) di Terengganu sebagai satu yang kolaburatif, tetapi golongan itu melihat ia sebagai kepentingan untuk kerajaan, tidak kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), semalam.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, berkata walaupun terbukti Terengganu berada pada landasan terbaik dan sudah diiktiraf sebagai negeri paling hebat dalam pendidikan serta sukan, masih ada pihak yang tidak mengakui kecemerlangan itu.

“Sebab itu pada hari ini apabila kita diiktiraf paling hebat dalam pendidikan pasti ada suara sumbang yang tidak mengakui kehebatan kita, begitu juga dalam sukan, mereka tetap mengatakan begitu dan begini.

“Malah, jika ada sesuatu (masalah) yang berlaku di Terengganu hari ini mereka mengatakan iu adalah kesilapan dan ada unsur rasuah di situ kerana mereka selalu berpolitik. Perkara ini akan menimbulkan  masalah kepada pembangunan dan juga kehebatan yang sedang berlaku di Terengganu,” katanya.

Sehubungan itu, Dato’ Ahmad Razif berkata apa yang paling mustahak, rakyat Terengganu harus bijak menilai dan memberi sokongan kuat kepada Kerajaan BN dan menyingkirkan parti pembangkang yang selalu memandang setiap yang berlaku di negeri ini sebagai suatu yang negatif.

Beliau berkata, kewujudan pembangkang boleh diibaratkan seperti dedalu, `duri dalam daging' dan juga `api dalam sekam' kerana golongan itu hanya akan mengekang usaha pembangunan dan kecemerlangan yang sepatutnya boleh terus dicapai anak Terengganu pada akan datang.